Sorting by

×

MENARA TAMING SARI PROMOSI PELANCONGAN ‘RAYA’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 18 Februari – Paluan gendang dan simbal yang mengiringi tarian singa menggamatkan suasana di perkarangan Menara Taming Sari.

Persembahan istimewa itu memukau kira-kira 3,000 pengunjung yang berada di sekitar menara ikonik berputar 360 darjah dan setinggi 80 meter itu.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, persembahan istimewa tarian singa itu merupakan acara tahunan yang diadakan Menara Taming Sari bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, persembahan itu bukan sahaja bagi meraikan perayaan tetapi juga menampilkan warisan budaya masyarakat Cina kepada pengunjung dan pelancong yang berkunjung ke Melaka.

“Program ini adalah acara tahunan yang diadakan oleh Menara Taming Sari dan saban tahun ia mendapat sambutan hebat daripada pengunjung.

“Boleh dikatakan ribuan pengunjung termasuk pelancong bersama-sama menyaksikan persembahan tarian singa dan kita juga turut menyantuni mereka dengan mengagihkan limau sebagai simbolik sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad.

Menurut Abdul Razak, inisiatif dilaksanakan itu juga selari dengan usaha mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan bersempena musim perayaan sekali gus merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0.

“Pengisian ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana secara tidak langsung menyemarakkan lagi suasana apa jua sambutan perayaan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post MAIM SEDIA 38 SKIM BANTUAN UNTUK MUALAF
Next post MPHTJ WARNAI RAMADAN DENGAN PROGRAM KEBAJIKAN