Sorting by

×

MELAKA JEMPUT PELANCONG RASAI PENGALAMAN IFTAR, KACAU DODOL

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 19 Februari – Kira-kira 2,000 pengunjung dan pelancong dijangka membanjiri perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir bersempena majlis berbuka puasa dan program kacau dodol pada 14 Mac depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Ramadan.

“Selain penduduk setempat, kita turut menjemput pengunjung dan pelancong yang ada di Melaka pada minggu terakhir Ramadan untuk sama-sama memeriahkan acara berbuka puasa ini.

“Pelbagai juadah termasuk minuman akan disediakan oleh BPP dan MBMB untuk dijamu kepada pengunjung yang hadir untuk sama-sama berbuka puasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyaksikan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan mengagihkan limau kepada pengunjung di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad.

Fb img 1771379079346
ABDUL Razak diiringi Nur Azan ketika menyaksikan persembahan tarian singa di perkarangan Menara Taming Sari.

Abdul Razak berkata, selain majlis iftar, turut berlangsung pada hari tersebut adalah program kacau dodol yang akan bermula pada sebelah petang.

“Jika tahun lepas kita sediakan hanya 30 kawah tetapi pada tahun ini ditambah kepada 50 kawah berikutan sambutan cukup menggalakkan.

“Untuk kacau dodol ini ia akan membabitkan setiap agensi dibawah portfolio pelancongan antaranya Menara Taming Sari, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Zoo Melaka selain badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan,” katanya.

Jelasnya, diadakan itu bukan sahaja bertujuan mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, masyarakat setempat dan pelancong yang berkunjung ke Melaka.

“Justeru itu kita mengalu-alukan orang ramai dan pelancong yang berada di Melaka untuk hadir bagi sama-sama memeriahkan suasana serta merasai makanan tradisional yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post JALAN BATANG TIGA-TANGGA BATU, MASJID TANAH-SUNGAI UDANG BAKAL DINAIK TARAF
Next post PACU EKONOMI ANAK MUDA PAYA RUMPUT