Sorting by

×

KOMPLEKS AS SOLIHIN MERCU AGAMA BAHARU PAYA RUMPUT

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

PAYA RUMPUT 20 Februari – Menginjak usia 100 tahun, Masjid As Solihin, Paya Rumput terus kekal utuh sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah apabila diperkukuh lagi dengan pembinaan Kompleks As Solihin yang merancakkan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Pengerusi Masjid As Solihin Datuk Wira Yasin Sarif berkata, kompleks tiga tingkat yang kini di fasa akhir pembinaan bakal menjadi mercu tanda baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Menurut beliau, masjid yang dibina pada tahun 1927 itu kini mempunyai ‘dua wajah’ apabila menerusi laluan dalam akan terlihat struktur asal Masjid As Solihin manakala pemandangan melalui jalan utama iaitu Lebuh Raya Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) akan kelihatan Kompleks As Solihin.

“Sewaktu mengambil alih pengurusan masjid kira-kira empat tahun lalu, saya meletakkan sasaran ke arah 100 tahun penubuhan dengan membangunkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

“Kesinambungan dari masjid itu maka terbinalah kompleks tiga tingkat ini yang dilengkapi bukan sahaja ruangan solat di bahagian tengah tetapi dewan yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 orang dalam satu-satu masa serta ruangan pengajian,” katanya.

Menurut beliau, tingkat atas kompleks itu akan dikhaskan untuk dijadikan tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan mampu menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak.

“Untuk aras atas pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin sudah memohon untuk dijadikan tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak pengurusan bersetuju dengan hasrat itu.

“Meskipun berada diperingkat akhir pembinaan yang kini berbaki kerja menyiapkan menara dan kubah serta kawasan tempat letak kereta, beberapa penganjuran program sudah berlangsung di dewan Kompleks As Solihin ini.

“Malah lebih membanggakan kompleks ini juga sudah dikunjungi penceramah terkenal dan mendapat pujian selain sudah dikunjungi ramai orang,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kompleks itu diharap akan mencapai tujuan penubuhannya dan sekali gus memperkukuh peranan masjid.

“Saya yakin pembinaan kompleks ini akan merealisasikan aspirasi masjid untuk berfungsi sebagai pusat perhimpunan masyarakat merentasi pelbagai peringkat usia, latar belakang serta tujuan.

“Meskipun begitu dipihak pengurusan kami akan memastikan semua aktiviti yang berlangsung di kompleks adalah bertetapan mengikut garis panduan dan mengikut syariat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Paya Rumput Abdul Latif Omran berkata, pembinaan kompleks tiga tingkat itu secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada penduduk DUN Paya Rumput khususnya.

“Menerusi kompleks ini ia memberi manfaat kepada rakyat setempat khususnya apabila tidak lama lagi akan ada tadika JAIM yang lama sudah ditunggu-tunggu kerana di Kampung Paya Rumput, tadika yang terdekat adalah di Bertam Jaya dan Krubong.

“Pembinaan kompleks ini juga memberi keselesaan kepada jemaah, khususnya sewaktu solat sunat Aidilfitri, jika sebelum ini terpaksa bentangkan tikar dan sejadah di jalan raya, tetapi selepas ini tidak lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post PERSATUAN SUKAN DIMINTA KEMUKA ‘LONGLIST’ ATLET SUKMA 2026 SEBELUM 22 FEBRUARI
Next post TAHUN PERTAMA BERNIAGA, RIFKARL RAIH SAMBUTAN LUAR BIASA DI BAZAR IKONIK BANDA HILIR