
BALAI RAYA TANJUNG MINYAK UTAMA LAMBANG JANJI DITUNAIKAN YB RAIS
PAYA RUMPUT 21 Februari – Penduduk Taman Tanjung Minyak Utama kini boleh melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti selepas balai raya yang dijanjikan siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, balai raya itu siap dibina pada 15 Februari lalu dengan peruntukan berjumlah RM500,000.
Katanya, penyerahan balai raya berkenaan diadakan bersempena Ramadan, sekali gus menjadi permulaan kepada pelbagai aktiviti yang boleh dianjurkan penduduk di kawasan itu.
“Pembinaan balai raya ini adalah antara janji yang dibuat hampir dua tahun lalu dan kini berjaya direalisasikan hasil sokongan serta kelulusan peruntukan oleh Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, ini satu lagi mercu kemudahan rakyat yang berjaya kita tunaikan kepada masyarakat di Taman Tanjung Minyak Utama.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan Negeri di atas peruntukan yang diluluskan dan seterusnya merealisasikan kemudahan balai raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Simbolik Penyerahan Balai Raya Tanjung Minyak Utama dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Adun Paya Rumput merangkap Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka di balai raya terbabit, di sini, semalam.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata balai raya itu dijangka menjadi pusat aktiviti komuniti termasuk program kemasyarakatan, keagamaan dan kebajikan bagi penduduk setempat.
“Balai raya baharu ini dapat memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 penduduk sekitar dan dilengkapi kemudahan seperti tandas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


