Sorting by

×

MAIM SEDIA PENGINAPAN UNTUK ANAK MELAKA DI MESIR, SEWA HANYA RM20 SEBULAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 21 Februari – Dalam menjaga kebajikan anak-anak Melaka yang menuntut ilmu di Mesir, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menyediakan sebuah rumah penginapan serba lengkap dengan sewa yang murah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penginapan itu disediakan di dua blok pangsapuri sembilan tingkat di Kaherah, Mesir yang dinamakan Wisma Melaka.

Jelas beliau, pangsapuri itu menempatkan seramai 118 mahasiswa anak Melaka yang menuntut di Universiti Al-Azhar dengan kadar sewa hanya RM20 sebulan.

“Kadar sewa RM20 sebulan ini termasuk bil air dan elektrik. Di sini, terdapat pelbagai kemudahan seperti dapur, peti ais, mesin basuh, pengering dan lain-lain.

“Biliknya juga cukup selesa dan bersaiz besar sama ada dikongsi berdua atau bertiga, di mana pangsapuri ini adalah milik MAIM bagi kegunaan mahasiswa yang menuntut ilmu di sini.

“Selain itu, terdapat juga ‘executive apartment’ dan ‘executive lounge’ yang boleh disewa pada kadar murah oleh ibu bapa atau sesiapa sahaja di sini,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada sesi ramah mesra bersama 118 anak Melaka yang menuntut ilmu di Mesir dan seterusnya merasmikan Wisma Melaka, Mesir.

Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rahmad, selain kemudahan penginapan, Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) turut menyediakan dermasiswa kepada anak-anak Melaka yang menuntut ilmu di Mesir.

“Harapan Kerajaan Negeri adalah untuk melihat anak-anak ini berjaya dan seterusnya membanggakan ibu bapa serta Negeri Melaka,” tambahnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post 50 KAWAH DODOL GAMATKAN BANDA HILIR PADA 14 MAC
Next post KAMPUNG MORTEN, PERMATA WARISAN YANG MASIH BERNYAWA