Sorting by

×

SEWAAN ALAT SIAR RAYA BUKA PELUANG BUAT BELIA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 22 Februari – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cheng Perdana melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif bagi memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat, khususnya golongan belia melalui penyediaan peluang pekerjaan dan perkhidmatan komuniti.

Pengerusi JPKK Cheng Perdana Norhashim Yusof@Mohd Yusof berkata, inisiatif itu dilaksanakan hasil peruntukan yang diterima daripada geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Katanya, menerusi geran tersebut, pihaknya menerima RM100,000 dan memutuskan untuk melaksanakan sewaan projek perkhidmatan alat siar raya termasuk sistem audio untuk penduduk sekitar.

“Kadar sewaan yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah berbanding harga pasaran kerana menerima dana dari kerajaan, sebagai contoh jika harga pasaran luar sekitar RM5,000 sewaan alat siar raya, kami hanya kenakan kira-kira RM2,500 dan hasil sewaan ini digunakan untuk membayar upah belia yang membantu kerja pemasangan serta sedikit simpanan tabung komuniti.

“Inisiatif ini turut mendapat sokongan dan dukungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang sering memberi galakan kepada semua JPKK di bawah DUN Paya Rumput untuk terus bergerak maju dan membantu komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Tayangan Wayang Pacak di Padang Taman Bertam Jaya Sempena Karnival Demi Paya Rumput.

Terdahulu, tayangan wayang pacak itu telah menggunakan alat siar raya yang disediakan JPKK Cheng Perdana.

Selain alat siar raya, Norhashim berkata, JPKK Cheng Perdana turut menyediakan enam unit penyaman udara yang disewakan kepada sesiapa yang memerlukan pada majlis tertentu dengan harga sewaan RM100 seunit.

“Kesemua peralatan kita disimpan di Pusat Rukun Tetangga Taman Bertam Jaya yang dilengkapi kemudahan stor serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan aset komuniti.

“Langkah ini juga menunjukkan komitmen JPKK Cheng Perdana untuk terus melaksanakan program yang menyokong pembangunan belia dan mengukuhkan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post PESARA TERHARU DIHARGAI SEMPENA 20 FEBRUARI
Next post BERBUKA SAMBIL ‘HEALING’ DI MITC HOTEL