Sorting by

×

UNIMEL BUKA RUANG KERJASAMA BANTU PELAJAR MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LINGGI 7 Mac – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sentiasa membuka ruang menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan di universiti itu.

Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly berkata, pendekatan itu antara usaha yang dapat dilakukan bagi membantu sebahagian pelajar sekali gus dapat menyokong mereka meneruskan pengajian.

“Di UNIMEL bukan sahaja YAPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) tetapi kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan mana-mana pihak sama ada agensi, syarikat, bank, yayasan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil menyumbang.

“Kadang-kadang ada yayasan yang tampil menyumbang memandangkan di UNIMEL ini ramai pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.

“Terdapat pelbagai bentuk sumbangan diterima antaranya ada yang memberikan kupon makanan malah terdapat juga pihak yang tampil menyumbang pembayaran yuran pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ramadan Madani YAPEIM yang turut dihadiri Pengurus Besar Tabung Kebajikan dan Pelajaran YAPEIM Dr. Shamsul Azhar Yahya, di Auditorium Ibn Khaldun UNIMEL, di sini, semalam.

Menurut Prof. Abdul Khalil, pihaknya amat berharap jalinan kerjasama antara UNIMEL dan YAPEIM dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus menjadi program tahunan.

“Saya amat berharap program kerjasama antara UNIMEL dan YAPEIM dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan penglibatan lebih luas termasuk institusi pengajian tinggi  (IPT), sekolah dan masyarakat setempat.

“Kerjasama sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar malah memperkukuhkan jaringan industri dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat,” katanya.

Terdahulu pada program itu, turut berlangsung penyampaian sumbangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi berjumlah RM60,500 yang merangkumi pelaksanaan program berbuka puasa, bantuan kewangan kepada pelajar IPT dan sekolah serta sumbangan infaq kepada INFRA UNIMEL.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

399
Kongsi :
Previous post AB RAUF TITIP TIGA PESANAN KEPADA GENERASI MUDA MELAKA
Next post SINGGAH SAHUR SEMARAK RAMADAN, MEDAN PERKUKUH SOLIDARITI