
PERTANDINGAN TIKTOK RAYA MASJID TANAH TAWAR HADIAH RM5,000
AYER LIMAU 19 Mac – Orang ramai berpeluang memenangi ‘duit raya’ dengan menyertai TikTok Raya Masjid Tanah yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM5,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pertandingan itu bermula 18 Mac dan akan berakhir pada 23 Mac.
Katanya, konsep pertandingan adalah bertemakan ‘Beraya di Masjid Tanah’ dengan tujuan bagi memeriahkan suasana hari raya di kawasan tersebut.
“Penyertaan terbuka kepada semua yang ingin berkongsi kreativiti masing-masing menerusi platform TikTok dengan mengetengahkan elemen raya di Masjid Tanah.
“Konsep pertandingan adalah mengikut kreativiti masing-masing dan memerlukan setiap peserta membuat tanda pagar (#ybtokhameed) dan mengikuti TikTok YB Tok Hameed.
“Pemenang paling kreatif dan menarik akan dipilih memenangi hadiah wang tunai RM1,000 untuk tempat pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tahlil dan Berbuka Bersama Poghut Ayer Limau di kediamannya di Kampung Jeram, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut Hameed berkata, penyampaian hadiah kepada pemenang akan diadakan pada malam Jamuan Hari Raya di kediamannya pada 28 Mac ini.
“Inisiatif ini diharap dapat menarik penyertaan golongan muda selain memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam kawasan Masjid Tanah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


