
AYAM RM5 ‘DISERBU’ PENDUDUK LENDU
LENDU 19 Mac – Seawal jam 7 pagi, pekarangan Japerun Lendu sudah dipenuhi orang ramai yang sanggup beratur panjang demi mendapatkan ayam segar pada harga serendah RM5 seekor.
Inisiatif jualan ayam murah itu nyata mendapat sambutan hangat, khususnya dalam kalangan penduduk sekitar yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Abdul Kadir Husin, 66, berkata, dia membeli empat ekor ayam kerana jumlah ahli keluarga yang ramai di rumah.
“Alhamdulillah, bila ada inisiatif begini dapatlah meringankan beban untuk sambut hari raya. Memang bagus kalau program seperti ini dapat dibuat lebih kerap, bukan hanya musim perayaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Seorang lagi pengunjung Rapiah Omar, 73, turut meluahkan rasa syukur apabila berjaya mendapatkan ayam murah untuk menyambut lebaran.
“Makcik sampai pukul 7 pagi pun dah beratur panjang. Beli empat ekor sebab enam orang anak semua balik raya nanti dan seronok juga dapat jumpa orang kampung.
“Harga RM5 seekor sangat membantu dan menjadikan persiapan Aidilfitri tahun ini lebih meriah,” katanya.
Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai penghargaan kepada rakyat di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sempena tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menerajui Negeri Melaka.
Penduduk Parlimen Masjid Tanah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berpeluang mendapatkan ayam pada harga istimewa itu, melibatkan lima kawasan iaitu Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Lendu, Ayer Limau dan Taboh Naning.
Setiap DUN diperuntukkan sebanyak 5,000 ekor ayam, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan penduduk setempat menjelang sambutan Aidilfitri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


