Sorting by

×

25,000 AYAM RM5 HABIS DALAM TEMPOH EMPAT JAM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 19 Mac – Sebanyak 25,000 ayam murah ditawarkan pada harga RM5  seekor sempena sambutan genap tiga tahun pentadbiran Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka habis dijual dalam tempoh empat jam.

Jualan berlangsung di Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Lendu, Ayer Limau dan Tabong Naning.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dianggarkan lebih 10,000 penduduk hadir dan menunggu giliran seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan bekalan ayam berkenaan.

Katanya inisiatif ini bertujuan membantu rakyat membuat persiapan menjelang Aidilfitri, serta meringankan kos sara hidup, khususnya bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Jelasnya setiap DUN telah menyediakan jualan sebanyak 5,000 ekor ayam dan bagi memastikan Pengagihan secara adil, setiap individu dihadkan pembelian sebanyak enam ekor ayam sahaja.

“Ini bukan sekadar jualan, tetapi usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat yang terbeban ketikabmembuat persiapan menyambut Aidilfitri. Kebajikan rakyat akan terus menjadi fokus utama pentadbiran saya, selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat yang menekankan keprihatinan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Usaha seumpama ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat di negeri ini,” kata Ketua Menteri di Japerun Tanjung Bidara selepas selesai meninjau proses jualan ayam di semua lima DUN dalam Parlimen Masjid Tanah.

Selain itu, bersempena program ini, beberapa DUN lain turut mengambil bahagian dengan menawarkan ayam dan daging pada harga Rahmah, antaranya DUN Pengkalan Batu, DUN Paya Rumput, DUN Telok Mas, DUN Asahan dan DUN Pantai Kundor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post PERTANDINGAN TIKTOK RAYA MASJID TANAH TAWAR HADIAH RM5,000
Next post AYAM RM5 BUKTI ‘MELAKA SAYANG RAKYAT’ DIRASAI WARGA TABOH NANING