Sorting by

×

KES ROGOL BAWAH UMUR ANTARA PENYUMBANG JENAYAH KEKERASAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KLEBANG 19 Mac – Peningkatan kes rogol melibatkan mangsa bawah umur dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan jenayah kekerasan di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Mac 2026, sebanyak 67 kes jenayah kekerasan direkodkan.

Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat sebanyak empat kes atau 6.3 peratus berbanding 63 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagi jenayah kekerasan, kes yang meningkat ialah kes rogol serta mendatangkan cedera parah.

“Jenayah rogol ini bukan hanya melibatkan rogol paksaan, tetapi juga melibatkan pelajar bawah umur serta mereka yang sudah berhenti sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ronda Santai Panjut Pelita Bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata peningkatan kes turut dipengaruhi oleh tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk tampil membuat laporan.

“Kebanyakan laporan yang diterima adalah apabila ibu bapa mengesan kejadian tersebut dan membawa anak mereka ke balai polis untuk membuat laporan.

“Selain itu, kemungkinan faktor lain seperti pengaruh media sosial, pergaulan bebas dan penggunaan gajet turut menyumbang kepada peningkatan kes ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata bagi menangani masalah yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) bagi menyelesaikan isu tersebut.

Susulan peningkatan kes jenayah kekerasan termasuk kes rogol, beliau berkata perkembangan itu turut menyumbang kepada pertambahan keseluruhan indeks jenayah di Melaka yang mencatatkan 314 kes dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 309 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Antara yang meningkat adalah jenayah harta benda membabitkan kes kecurian kenderaan, manakala kes pecah rumah didapati agak berkurangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Kongsi :
Previous post AYAM RM5 BUKTI ‘MELAKA SAYANG RAKYAT’ DIRASAI WARGA TABOH NANING
Next post CHARITY OUTLET MELAKA MALL ‘DISERBU’