Sorting by

×

PERSIAPAN SAAT AKHIR SAMBUT AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 20 Mac – Meskipun ramai umat Islam yang sudah membuat persiapan awal bagi menyambut satu Syawal, namun tradisi hari mantai masih diteruskan apabila masih ada yang mengambil peluang membeli keperluan di saat akhir.

Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan seperti pasaraya, pasar dan pasar tani mendapati masih ramai yang keluar mendapat barangan keperluan termasuk membeli daun palas untuk membuat ketupat.

Aidilfitri tahun ini menjadi tumpuan berbanding tahun sebelum kerana ada yang menjangkakan sekali lagi akan ‘raya mengejut’ iaitu satu Syawal diraikan pada Jumaat.

Bagi penduduk Aishah Abd Aziz, 56, berkata, kerana kekangan waktu menyiapkan tempahan kuih raya dia hanya berpeluang membuat persiapan di saat akhir dan bersyukur Aidilfitri akan disambut pada esok.

“Mengikut kalendar ketetapan 1 Syawal adalah hari Sabtu pada 21 Mac jadi saya sudah rancang untuk membeli keperluan seperti lauk pauk pada hari Jumaat (hari ini).

“Semalam selepas mendengar pengumuman dibuat lega rasanya dan seperti biasa saya akan singgah di sini untuk membeli daging segar sebelum ke tempat lain membeli barangan keperluan yang lain,” katanya ketika ditemui tapak pasar malam Semabok berhampiran Medan Selera Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Semabok, hari ini.

Img 20260320 wa0003
ORANG ramai membuat persiapan akhir membeli daging sebelum Aidilfitri.

Sementara itu, bagi peniaga daging segar Zairin Hasmi, 43, berkata, saban tahun pada hari mantai dia akan berniaga kerana masih terdapat permintaan walaupun ada yang sudah membuat persiapan lebih awal.

“Ini hari ketiga dan terakhir saya berniaga, boleh katakan permintaan amat menggalakkan yang mana semalam pembeli memang ramai.

“Daging segar antara yang akan dicari menjelang Aidilfitri begitu juga yang mencari bahagian lembu yang lain untuk dimasak sebagai juadah.

“Setakat jam 12 tengah hari daging sudah tidak banyak yang tinggal dan sepanjang tiga hari berniaga di sini sebanyak empat ekor lembu disembelih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post OPS HRA 2026 : LEBIH 2,000 KESALAHAN DIRAKAM MELALUI DRON – JPJ
Next post DUA MAUT, EMPAT CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN DI PUTRAJAYA