Sorting by

×

JEJAK DHU’AFA SANTUNI ASNAF, ORANG KURANG UPAYA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MERLIMAU 22 Mac – Kolej Komuniti Jasin (KKJS) menzahirkan keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik menerusi program santunan kasih Aidilfitri di sekitar Merlimau.

Menerusi Program Jejak Dhu’afa itu, seramai 23 golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU) disantuni dan diberikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Program itu turut merupakan hasil kolaborasi KKJS bersama badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Global Peace Mission (GPM) Melaka dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) KKJS.

Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, program turun padang itu antara lainnya bertujuan menziarahi dan menyantuni masyarakat sekali gus mengetengahkan peranan institusi pendidikan itu yang sangat dekat dengan komuniti setempat.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan yang berkonsepkan komuniti, pihak kolej sentiasa mengadakan aktiviti atau program turun padang untuk mendekati masyarakat yang memerlukan bagi meringankan bebanan mereka dalam meneruskan kehidupan.

“Tambahan lagi, sumbangan yang diberikan bukan hanya meringankan bebanan, malah turut memberi peluang kepada pihak kolej untuk berinfaq dan bersedekah.

“Inisiatif ini menjadi satu landasan bagi memupuk semangat kebersamaan dan mewujudkan impak sosial yang berkekalan di mana secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih harmoni,” katanya.

Terdahulu, lawatan turun padang itu turut disertai Timbalan Pengarah Akademik KKJS Isma Najwa Saharudin.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Md Kaus Rasol, 58, memanjatkan rasa syukur di atas bantuan yang diberikan bersempena Aidilfitri itu.

“Keadaan saya yang kurang upaya agak menyukarkan pergerakan untuk bekerja dan kekurangan sumber kewangan untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya bersama keluarga. Sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan saya sebagai seorang OKU,” katanya.

Warga emas, Zianil@Zainal Moahamad Ali, 87, pula berasa sangat terharu dengan kehadiran KKJS yang sanggup datang ke rumahnya untuk menyampaikan sumbangan Aidilfitri.

“Saya sama sekali tidak menyangka masih ada lagi pihak yang sudi turun padang dan membantu golongan seperti kami untuk menyambut Aidilfitri.

“Apabila ada pihak yang mendekati golongan masyarakat yang memerlukan, kami tidak rasa tersisih dan akan turut sama bergembira menyambut Aidilfitri seperti umat Islam yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post ‘DAK RAOP’ TAK LUPA KAWAN LAMA
Next post MELAKA TUMPU BANGUNKAN KOPERASI PELANCONGAN