Sorting by

×

MELAKA TUMPU BANGUNKAN KOPERASI PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 22 Mac – Melaka kini memberi tumpuan kepada usaha membangunkan lebih banyak koperasi berasaskan pelancongan selari dengan imej negeri ini sebagai destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, antara sasaran utama Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah menbangunkan koperasi nelayan pelancongan di Pantai Siring.

Jelas beliau, usaha ke arah itu dilakukan selepas melihat potensi pelancongan di kawasan itu yang berada berhampiran pulau-pulau dan Taman Laut Melaka, selain turut mempunyai pelbagai tarikan lain seperti penternakan kupang.

“Selepas mengadakan lawatan ke kawasan itu, kita melihat banyak peluang boleh diteroka nelayan menerusi penubuhan koperasi antaranya trip membawa pelancong ke pulau-pulau dan pelbagai kawasan tarikan lain.

“Jadi kita akan mengadakan perbincangan bersama nelayan, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan pihak-piham berkepentingan agar usaha membangunkan koperasi nelayan pelancongan atau agropelancongan ini dapat direalisasikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Allex, setakat ini, terdapat sebuah koperasi dibangunkan di Melaka berkait dengan pelancongan iaitu koperasi baba dan nyonya.

Jelas beliau, koperasi tersebut kini sedang dalam fasa memulakan operasi dengan memperagakan warisan baba dan nyonya seperti pakaian, peralatan, pinggan mangkuk dan tarian untuk menarik kehadiran pelancong dari seluruh dunia ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post JEJAK DHU’AFA SANTUNI ASNAF, ORANG KURANG UPAYA
Next post DARIPADA RASA INGIN TAHU, ‘YB SEM’ BERJAYA PUASA LEBIH 20 HARI