
KONTRAKTOR RUGI LEBIH RM300,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa seorang lelaki berumur 34 tahun telah melihat satu iklan pelaburan di Google pada 18 Feb lepas, melalui laman web dikenali sebagai “marinasand”.
“Mangsa kemudiannya mendaftar dan menyertai pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa telah melakukan 16 transaksi pindahan wang menggunakan simpanan peribadi serta wang syarikat miliknya ke dalam lima akaun bank berbeza bermula 18 Feb hingga 19 Mac 2026.
“Mangsa hanya menerima pulangan awal sekitar RM1,000 sebelum tidak menerima sebarang keuntungan seterusnya seperti dijanjikan. Mangsa turut mendapati tidak lagi dapat mengakses laman sesawang pelaburan tersebut sebelum menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Beliau turut menyarankan orang ramai membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang Semak Mule Polis Diraja Malaysia sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 bagi tindakan segera sekiranya disyaki menjadi mangsa penipuan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


