
AGRO MADANI 2025 CATAT NILAI JUALAN LEBIH RM4 JUTA
MERLIMAU 23 Mac – Sejumlah RM4.3 juta nilai jualan direkodkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi penganjuran Program Jualan Agro MADANI sepanjang tahun lalu.
Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid berkata, jumlah itu adalah hasil penganjuran 264 program yang dilaksanakan membabitkan kira-kira 1,000 orang usahawan.
Nor Azhar berkata, program Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang menawarkan jualan pelbagai barangan antaranya produk segar seperti ayam, ikan dan daging, barangan kawalan iaitu gula, minyak masak, tepung serta beras.
“Sasaran awal pada tahun lalu hanya 230 jualan namun ia meningkat ini susulan sambutan menggalakkan yang diterima daripada pengguna sama ada dilakukan di outlet FAMA mahupun di luar.
“Menerusi konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna, orang ramai dapat menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa dan sekaligus meringankan kos sara hidup rakyat.
“Selain memberi manfaat kepada pengguna, program sebegini membuka peluang kepada usahawan untuk meningkatkan hasil jualan, memperluaskan pasaran produk serta mempromosikan produk tempatan kepada lebih ramai pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal @ Pasar Tani Merlimau Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, baru-baru ini.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu juga sejumlah RM6.3 juta nilai jualan diperoleh menerusi penganjuran pasar tani di seluruh Melaka.
“Nilai jualan ini menunjukkan peningkatan daripada jumlah sasaran ditetapkan iaitu RM6 juta menerusi enam lokasi pasar tani yang mana Pasar Tani Jasin merekodkan jumlah tertinggi dengan RM2.3 juta.
“Manakala untuk tahun ini nilai jualan ditetapkan adalah sebanyak RM7.5 juta dan sehingga Februari lalu jumlah yang sudah direkodkan kira-kira RM915,000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


