Sorting by

×

BANTUAN MAIM, LONJAK PENGELUARAN PRODUK 500 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERKAM 23 Mac – Sumbangan peralatan perniagaan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberi lonjakan besar kepada operasi sebuah syarikat pengeluar makanan apabila kapasiti pengeluarannya meningkat sehingga 500 peratus.

Pengasas jenama Al-Taj, Tajul Ariffin Abdullah, 59, berkata, sumbangan peralatan berupa sebuah mesin pengadun bernilai RM30,420 itu bukan sahaja mempercepatkan proses kerja malah meningkatkan produktiviti syarikat secara keseluruhan.

Menurut bekas pensyarah itu, mesin berkenaan sudah lama diidamkan bagi meningkatkan produktiviti namun hasrat itu terpaksa dilupakan disebabkan harganya yang tinggi.

“Apabila dimaklumkan permohonan berjaya dan MAIM meluluskan dengan jumlah yang cukup tinggi saya amat terharu kerana mesin pengadun ini sudah lama saya inginkan.

“Dengan adanya mesin ini proses pengeluaran menjadi lebih cepat dan kapasiti pengeluaran juga meningkat sehingga 500 peratus berbanding sebelum ini.

“Terima kasih kepada MAIM kerana meluluskan permohonan ini dan pastinya ia memberi perjalanan baru dalam operasi Syarikat Al-Taj,” katanya selepas menerima kunjungan MAIM ke kilangnya di Melaka Halal Hub Serkam, baru-baru ini.

Tajul Ariffin berkata, dengan peningkatan kapasiti pengeluaran itu ia secara tidak langsung membantu mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan sejak 2015.

“Bermula dengan menghasilkan produk nasi arab mendhi sedia dimasak (ready to cook) akhirnya kini saya mempunyai 40 produk termasuk nasi lemak, rendang serta lemang.

“Dengan kekuatan pengeluaran produk yang meningkat ia dapat membantu saya mengembangkan lagi pasaran produk,” katanya.

Jelasnya, dengan peningkatan pengeluaran produk ia secara tidak langsung membantu syarikatnya
mengeluarkan zakat perniagaan supaya MAIM dapat membantu lebih ramai usahawan asnaf di luar sana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3966
Kongsi :
Previous post AGRO MADANI 2025 CATAT NILAI JUALAN LEBIH RM4 JUTA
Next post 15 KAWASAN DI SEMENANJUNG BERADA PADA STATUS CUACA PANAS TAHAP SATU DAN DUA – METMALAYSIA