Sorting by

×

KISAH TULAR PAGI SYAWAL UNDANG SEBAK, RAIS CAKNA HULUR BANTUAN

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PAYA RUMPUT 23 Mac – Saat ramai bergembira menyambut Aidilfitri dengan pakaian baharu dan juadah istimewa, sebuah bapa dari di Taman Bertam Jaya melalui detik berbeza apabila terpaksa keluar bekerja seawal pagi raya demi keluarga.

Kisah tular di laman sosial media memaparkan seorang lelaki menghantar barang menggunakan motosikal bersama isterinya yang sarat mengandung serta dua anak lelaki kecil.

Situasi itu menyentuh hati netizan apabila mereka dilihat tetap gigih mencari rezeki ketika orang lain meraikan hari kemenangan.

Perkongsian tersebut akhirnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin yang segera mengambil inisiatif untuk menjejaki dan bertemu keluarga terbabit.

Rais menerusi video berdurasi dua minit 19 saat di laman Facebook rasminya menzahirkan rasa tersentuh apabila melihat pengorbanan seorang lelaki yang juga merupakan seorang bapa membawa keluarganya untuk sama-sama bekerja di pagi Syawal.

“Bayangkan, pagi raya orang lain bergembira bersama keluarga, tetapi mereka sekeluarga berada di atas motosikal untuk bekerja. Isteri pula dalam keadaan sarat mengandung, anak-anak masih kecil. Ini bukan sesuatu yang mudah.

“Bagi saya, Aidilfitri bukan sekadar tentang sambutan, tetapi memastikan semua orang dapat merasai kegembiraan itu, tanpa ada yang tercicir,”katanya.

Hasil pertemuan tersebut, beliau dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja bagi menampung keperluan harian keluarga.

Prihatin dengan nasib mereka, Rais tampil menghulurkan bantuan segera termasuk keperluan asas, persiapan Aidilfitri serta sokongan kewangan bagi meringankan beban keluarga itu.

Selain itu, Rais turut membantu menyelesaikan isu tunggakan sewa rumah keluarga kecil itu serta beberapa keperluan mendesak keluarga terbabit agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa selepas ini.

“Saya minta keluarga ini pergi membeli baju raya dan selepas hari raya ini pergi ke Japerun Paya Rumput untuk mengambil kit makanan serta mengisi borang untuk membolehkan kita membantu mereka.

“Kisah keluarga ini menjadi peringatan bahawa masih ada masyarakat yang berdepan kesusahan walaupun pada hari yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan.

“Jika masih ada keluarga yang terjejas ekonomi seperti ini dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput tampil segera dan saya harap orang ramai juga boleh berkongsi maklumat sekiranya terdapat individu atau keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2678
Kongsi :
Previous post 15 KES BERKAITAN CUACA PANAS DILAPORKAN TAHUN INI, SATU KES KEMATIAN LIBATKAN KANAK-KANAK