
PURATA SUHU MELAKA CECAH 35 DARJAH CELCIUS, RAKYAT DINASIHAT HAD AKTIVITI LUAR
AYER KEROH 24 Mac – Purata suhu mencecah 35 darjah Celsius di Melaka disifatkan sebagai membimbangkan dan berada pada tahap tidak sihat.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, keadaan cuaca panas itu boleh meningkatkan risiko strok haba sekiranya orang ramai tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurutnya, orang ramai khususnya penduduk di negeri ini dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memastikan badan kekal terhidrat sepanjang masa.
“Ketika musim perayaan ini, walaupun ramai yang keluar beraya, mereka perlu jaga diri dengan memakai pelindung seperti topi dan minum air secukupnya.
“Kita risau risiko strok haba memandangkan suhu sekarang agak tinggi dan tidak sihat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah Hee Sem, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang kes berkaitan strok haba atau masalah kesihatan akibat cuaca panas tersebut.
“Jabatan Kesihatan Negeri juga belum memaklumkan sebarang kes, namun orang ramai tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
“Orang ramai digalakkan memakai pakaian bersesuaian seperti baju berwarna cerah yang dapat membantu mengurangkan penyerapan haba.
“Selain itu, orang ramai juga diminta supaya tidak melakukan pembakaran terbuka buat sementara waktu berikutan keadaan cuaca yang panas dan kering ketika ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


