
PEMBANGUNAN LOJI WTE BERPOTENSI LONJAK NILAI HARTANAH DI SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 3 April – Nilai hartanah di Sungai Udang berpotensi akan melonjak dengan wujudnya Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang dijadual siap dan memulakan operasi pada 2029.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Bertam Azrel Rithauddeen Mahmat, 53, berkata sebelum ini mungkin ramai yang teragak-agak untuk membeli hartanah di kawasan itu berikutan masalah pencemaran bau berpunca dari Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang terletak berhampiran.
“Insya-Allah pembangunan sektor hartanah di Sungai Udang akan semakin rancak selepas ini kerana peralihan kepada teknologi WtE dapat membantu menyelesaikan masalah pencemaran bau dihadapi penduduk termasuk saya sendiri sejak sejak lama.
“Apa tidaknya semua orang mahu tinggal dalam suasana yang sihat dan lestari, tetapi ketika ini khususnya pada waktu petang kami pasti diganggu bau tidak menyenangkan hingga terpaksa duduk dalam rumah.
“Tetapi pada tahun mendatang tidak mustahil lebih banyak taman perumahan akan dibina di kawasan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji WtE Sungai Udang di tapak WtE Sungai Udang, di sini, semalam.
Tambahnya, Loji WtE Sungai Udang juga mampu merancakkan lagi ekosistem ekonomi setempat khususnya membuka ruang untuk lebih ramai peniaga kecil dan penjaja menawarkan produk atau perkhidmatan masing-masing sesuai dengan peningkatan jumlah penduduk.
Selain itu katanya, kedudukan Sungai Udang yang strategik, disokongan dengan pelbagai fasiliti dan pusat komersial juga mampu menarik pelaburan baharu untuk bertapak di kawasan itu.
“Sebagai penduduk tempatan ini adalah antara impak yang saya lihat berpotensi akan berlaku dengan wujudnya Loji WtE Sungai Udang. Bukan sekadar menyelesaikan masalah pencemaran bau sebaliknya membantu perkembangan ekonomi negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


