
LEBIH MESRA DAN PINTAR, NAIK TARAF ZOO MELAKA SIAP JUN INI
BANDA HILIR 21 April – Zoo Melaka bakal berwajah baharu apabila kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur termasuk naik taraf pintu gerbang utama dan pembinaan kaunter tiket baharu sedang giat dijalankan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, kerja-kerja naik taraf dijalankan turut menerapkan konsep mesra pengguna.
Katanya, CMI sejak mengambil alih pengurusan Zoo Melaka berkuat kuasa 1 Januari lalu akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan operasi dan fasiliti sedia ada untuk terus menggamit pelancong.
“Meskipun kerja-kerja penambahbaikan dilakukan, operasi Zoo Melaka berjalan seperti biasa.
“Antara pembaharuan yang dilaksanakan membabitkan akses kepada kerusi roda , ‘stroller’ kanak-kanak, ruang masuk lebih selesa, teratur, penambahbaikan pencahayaan dan keselamatan kawasan.
“Kini kerja naik taraf melibatkan reka bentuk pintu gerbang baharu yang lebih moden, ikonik; laluan masuk diperluas dan lebih tersusun; landskap; pemasangan papan tanda lebih menyerlah serta kaunter dan sistem pembelian tiket baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pelancongan: Meriahnya Beraya! di Dataran Muzium Kesultanan Melaka di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata, projek menaiktaraf tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang awal Jun depan.
“Zoo Melaka masih dalam peringkat peralihan dan proses ini berjalan lancar dengan tumpuan diberikan untuk menaik taraf lokasi pelancongan ini untuk lebih baik.
“Dalam masa terdekat kita juga akan perkenalkan Smart Zoo yang menggunakan teknologi terkini lebih pintar dan memudahkan pengunjung,” katanya.
Untuk rekod, CMI kini menguruskan operasi Zoo Melaka menerusi syarikat milik Kerajaan Negeri iaitu Zoo Melaka Sinar Harapan Sdn Bhd selepas diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada awal Januari 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


