
OPERASI PEMBENIHAN AWAN SIRI 2 BANTU TANGANI KEKURANGAN AIR MELAKA
AYER KEROH 20 April – Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 2 telah digerakkan bagi menangani isu kekurangan sumber air di negeri ini susulan fasa peralihan monsun di negara ini.
OPA Siri 2 itu akan dilaksanakan selama dua hari bermula hari ini di Pangkalan Udara Subang dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Melaka memaklumkan, operasi itu dilakukan bertujuan meningkatkan potensi hujan di kawasan-kawasan tadahan air yang telah dikenal pasti sebagai kritikal.
Jelas kenyataan itu, penerbangan pembenihan awan telah bermula pada jam 1.30 tengah hari dan berakhir sekitar 3 petang dengan pesawat jenis C-130 Hercules milik TUDM.
“Pesawat ini membawa muatan bahan pembenihan berasaskan air garam berkapasiti 6,000 liter.
“Kawasan sasaran bagi operasi ini adalah di sekitar kawasan hulu (upstream) di Alor Gajah dan Asahan yang merupakan kawasan tadahan utama bagi Empangan Jus dan Empangan Durian Tunggal.
“Pemilihan lokasi ini dibuat berdasarkan analisis MET Malaysia bagi memastikan keberkesanan pembentukan hujan dapat membantu meningkatkan paras air di kedua-dua empangan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, operasi tersebut turut disaksikan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Mohd Saleh Jusman dan Pengarah Sumber Air Melaka Azizul Adzran Mahmor.
Dalam pada itu, BKSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak NADMA, TUDM dan MET Malaysia atas kerjasama erat dalam menjayakan operasi itu.
“Usaha bersepadu ini diharap dapat membantu meningkatkan paras air empangan serta memastikan bekalan air terus mencukupi untuk kegunaan rakyat di Negeri Melaka,” tambah kenyataan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

