Sorting by

×

KRISIS TENAGA: MPHTJ CADANG BERI INSENTIF TAMBAHAN KEPADA PENIAGA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 21 April – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengemukakan cadangan kepada Unit Kerajaan Tempatan (UKT) bagi mempertimbangkan pemberian insentif tambahan kepada peniaga dalam kawasan pentadbirannya susulan krisis Asia Barat.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, cadangan tersebut masih pada peringkat penelitian dan belum diluluskan namun antara lain ia bertujuan membantu meringankan beban pengusaha premis perniagaan terkesan.

Katanya, ia turut membantu dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan peringkat tempatan terus stabil dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

“Antara cadangan lain turut dikemukakan adalah mempercepatkan proses kelulusan pelan kawalan bangunan dan perancangan pembangunan bagi memastikan kelancaran perniagaan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien serta teratur.

“Langkah ini sebagai usaha mengekalkan daya tahan sektor perniagaan setempat, khususnya ketika berdepan cabaran ekonomi global yang memberi kesan rantaian kepada pemain industri kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Sambutan Majlis Rumah Terbuka dan Majlis Perasmian Maniss Pastry yang dirasmikan Timbalan Exco Sains, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, di sini, semalam.

Sapiah pada masa sama menegaskan komitmen berterusan MPHTJ dalam menyediakan persekitaran yang kondusif melalui pelbagai bentuk sokongan sedia ada.

Jelasnya, MPHTJ telah menjalankan pemberian insentif kepada peniaga orang kurang upaya (OKU) menerusi potongan 50 peratus cukai taksiran.

“MPHTJ turut menawarkan diskaun bagi sewaan premis, gerai atau lesen perniagaan sebagai sebahagian usaha membantu peniaga dalam golongan OKU.

“Usaha ini dilihat sebagai pendekatan proaktif MPHTJ dalam mengekalkan daya tahan sektor perniagaan setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post WRUR MACHAP JAYA: MPAG SENTIASA DEKAT DI HATI ORANG ALOR GAJAH
Next post WRUR MACHAP JAYA: 214 ADUAN SUDAH DISALURKAN KEPADA JABATAN, AGENSI UNTUK TINDAKAN