
MELAKA MAHU JADI ‘TALENT HUB’ KERJAYA TEKNIKAL, BERKEMAHIRAN TINGGI
BANDA HILIR 21 April – Melaka mahu terus mengorak langkah dan menjadi peneraju dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan melahirkan tenaga kerja yang berdiri sama tinggi di persada global.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara hala tuju yang ditetaokan adalah menjadikan negeri ini sebagai Talent Hub bagi tenaga kerja teknikal dan berkemahiran tinggi di Malaysia.
Justeru, beliau meminta agar tumpuan kepada pembangunan bakat, pengukuhan industri dan peningkatan kebolehpasaran graduan diperkasa secara menyeluruh bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Oleh itu, Sekretariat Majlis TVET Negeri Melaka perlu segera menyelaras matlamat TVET ke arah yang lebih berfokus dan tersusun menerusi inisiatif TVET di peringkat negeri.
“Saya menyambut baik hasrat Sekretariat Majlis TVET untuk merealisasikan Melaka Centre Of Excellence (MCOE) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2027, sebagai platform yang akan menyatukan bakat, industri dan kemahiran secara lebih komprehensif di bawah satu ekosistem yang bersepadu dan berorientasikan industri.
“Melalui MCOE ini juga, Kerajaan Negeri memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat, termasuk pekerja industri untuk meningkatkan kemahiran dan menambah nilai kepakaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memberi penekanan kepada aspek pembangunan kerjaya kedua dalam bidang TVET untuk diberi perhatian, khususnya dalam kalangan pesara.
“Pada masa sama pembangunan kerjaya kedua ini juga membuka laluan kepada semua termasuk penggiat ekonomi gig untuk meningkatkan kemahiran dan taraf hidup,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


