
WRUR MACHAP JAYA: PENGUSAHA KILANG TAUGE MOHON NAIK TARAF INFRASTRUKTUR
MACHAP JAYA 25 April – Beberapa inisiatif dicadangkan wakil MSM Food Industries (Melaka) Sdn Bhd Chong Song Fee iaitu kilang pengeluar tauge terkemuka Melaka kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bagi memantu syarikat berkenaan untuk terus berdaya saing dan mampan.
Kesempatan itu disuarakan kepada Ketua Menteri yang turun padang meninjau sendiri operasi pengeluaran tauge di kilang berkenaan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Pengarah Syarikat MSM Food Industries (Melaka) Sdn Bhd Chong Song Fee berkata, lawatan tersebut merupakan medium terbaik bagi pihaknya untuk menyampaikan secara terus hasrat berkenaan yang turut membeirkan manfaat kepada penduduk sekitar.
“Antara isu utama disuarakan adalah peningkatan kos utiliti yang ketara, bil elektrik mencecah lebih RM30,000 sebulan, bil air pula melebihi RM5,000. kami harap Kerajaan Negeri dapat pertimbangkan bantuan mungkin dalam bentuk diskaun utiliti atau inisiatif tenaga solar bagi mengurangkan beban kos operasi jangka panjang.
“Kami turut menyuarakan mengenai aspek keselamatan kakitangan kerana lokasi kilang ini dikelilingi hutan, sudah dua kali berlaku kejadian pokok tumbang, mungkin Kerajaan Negeri boleh ambil tindakan sepatutnya bagi mengelakkan insiden sama daripada berulang, sekali gus menjamin kesejahteraan pekerja,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri melawat kilang berkenaan di Felda Menggong, di sini, pada Khamis.
Lawatan itu turut disertai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sanns, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya dan Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri, Datuk Wira Lim Ban Hong merangkap Adun Klebang.
Song Fee berkata, pihaknya juga berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan perhatian terhadap aspek perhubungan kerana akses keluar masuk antara kilang berkenaan dan laluan utama kerap rosak akibat dilalui kenderaan berat.
“Mungkin laluan ini boleh diturap, kami amat berbesar hati jika ia dpat dilaksanakan kerana secara tidak langsung mengurangkan lagi kos penyelenggaraan, operasi juga akan menjadi lebih lancar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


