Sorting by

×

SISA ELEKTRONIK BOLEH DIHANTAR KE PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JASIN 25 April – Sisa elektronik atau e-waste kini diterima di fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle (PPLK) di bawah SWM Environment Sdn Bhd.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, langkah itu diambil bagi memperluaskan lagi amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Jelas beliau, pengumpulan sisa elektronik itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Untuk sisa elektronik ini, kita telah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar untuk mengumpul bahan tersebut sebelum diserahkan kepada vendor berdaftar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Muhibbah Jasin, di sini, yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.

Menurut Mohd Norlisam, PPLK SWM Environment bagaimanapun hanya berperanan sebagai pusat pengumpulan (collection point) dan tidak menjalankan proses pelupusan atau pemprosesan lanjut.

“Kita tidak buat ‘downstream process’, maknanya kita hanya bantu kumpul dan vendor berdaftar akan datang untuk kutipan dan pengurusan seterusnya,” jelasnya.

Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan sisa elektronik dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Pada masa sama, ujarnya, orang ramai digalakkan memanfaatkan kemudahan PPLK untuk melupuskan barangan elektronik seperti peralatan elektrik rosak dan peranti lama dengan cara yang lebih selamat dan teratur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post WRUR MACHAP JAYA: PENGUSAHA KILANG TAUGE MOHON NAIK TARAF INFRASTRUKTUR
Next post MPJ JADIKAN BANDAR JASIN LEBIH ‘ESTETIK’