
MELAKA TUBUH ‘TASK FORCE’ KESELAMATAN AIR
TANJUNG BIDARA 25 April – Kerajaan Negeri terus bertindak proaktif menjaga kelestarian sumber dan bekalan air negeri dengan menubuhkan Task Force Keselamatan Air.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pasukan petugas khas itu diperkuat dengan sokongan pelbagai agensi berkaitan air di negeri ini.
“Pasukan ini berfungsi untuk menyelaras respons kecemasan secara bersepadu apabila paras empangan dan sungai berada pada tahap kritikal.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap titisan air benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Air Milik Semua’ yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Dataran Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Ir. Azren Khalil; serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, pasukan task force tersebut juga akan berperanan memantau setiap projek-projek berkaitan air yang telah diluluskan dan dilaksanakan di negeri ini.
Untuk rekod, sebanyak 21 projek berkaitan air dengan nilai RM3.1 bilion telah diluluskan di Negeri Melaka oleh Kerajaan Persekutuan setakat 6 April tahun ini.
Jumlah itu membabitkan peruntukan daripada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan Ketiga Belas (RMK13).
Manakala untuk tahun ini, Melaka telah menerima RM274 juta di bawah siling peruntukan Rolling Plan Pertama (RP 1).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


