
PINGAT PANGLIMA AWANG IKTIRAF PELAJAR CEMERLANG AKADEMI LAUT
KUALA LINGGI 25 April – Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan Pingat Panglima Awang bagi mengiktiraf graduan Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang cemerlang sepanjang mengikuti pengajian di institusi kemahiran maritim itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pingat yang dicadang mencerminkan ketokohan Panglima Awang yang diangkat sebagai ikon pelayaran Melaka.
“Jika tadi kita menelusuri sejarah kegemilangan Panglima Awang yang mengangkat nama Melayu di persada dunia, maka hari ini tugas itu sedang diteruskan oleh generasi baharu di hadapan saya ini iaitu anak-anak ALAM yang bakal mengemudi masa depan industri maritim negara.
“Menjadi pelaut bukan pilihan sebarangan, anda adalah katalis kepada ‘blue economy’ (ekonomi biru) bagi Negeri Melaka,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Hari Terbuka ALAM 2026 di kampus institusi kemahiran itu di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn Bhd (MMASB) Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Ketua Pegawai Eksekutif MMASB Ismaida Zambri Ismail; Ketua Eksekutif ALAM Prof Emeritus Dato’ Dr. Abu Abdullah, barisan pengurusan serta kakitangan ALAM.
Bagi meningkatkan lagi kefahaman berhubung kehebatan dunia maritim Melayu, Ab Rauf juga bercadang untuk menganjurkan Pameran Panglima Awang di Kampus ALAM.
“Semua ini bergantung kepada pihak pengurusan, tetapi matlamat saya adalah mahu berkongsi dan membuka mata bakal pelaut di hadapan saya ini mengenai kehebatan kapal kita, kehabatan pelabuhan kita dan kehebatan pelaut kita.
“Pada penganjuran pameran itu nanti saya juga akan bawakan pakar-pakar sejarah yang sudah menjalankan kajian mengenai kehebatan Melaka, diharapkan semua ini menyuntik motivasi dan semangat kepada anda semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


