Sorting by

×

MELAKA OPTIMIS TAWAR LEBIH BANYAK PRODUK PELANCONGAN DI LOKASI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 29 April – Usaha sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi membangunkan produk pelancongan di lokasi baharu yang dilihat berpotensi menggamit lebih ramai pengunjung ke Melaka.

Inisiatif itu juga akan menjadikan pelancongan Melaka lebih menyeluruh dengan melibatkan semua daerah termasuk Alor Gajah dan Jasin tanpa terlalu tertumpu di Melaka Tengah.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebagai contoh di daerah Jasin, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) telah membangunkan produk pelancongan baharu di Tasik Chinchin.

“Selain itu dalam daerah Alor Gajah di kawasan Masjid Tanah telah dibangunkan juga produk ekopelancongan lengkap dengan restoran terapung yang telah beroperasi.

“Kita juga menilai lokasi luar bandar yang memiliki potensi besar untuk dibangunkan, usaha ini sudah pasti akan menyemarakkan lagi sektor pelancongan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai sejauh mana Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan produk seumpama Melaka Floating Market ke daerah atau kawasan lain mengambil kira pengalaman dan pelaksanaan sedia ada pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kajian dan penelitian akan dilakukan terlebih dahulu sebelum pembangunan di lokasi dicadang untuk diangkat menjadi produk pelancongan baharu  dilaksanakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post PEMBANGUNAN PANTAI PUTERI PACU EKONOMI MARITIM MELAKA
Next post 2,473 KANAK-KANAK ENAM TAHUN DAFTAR TAHUN SATU DI MELAKA