Sorting by

×

SURI RUMAH UBAH DAUN GETAH JADI HADIAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

ASAHAN 1 Mei – Seorang suri rumah di Kampung Jus berjaya mengubah daun getah menjadi pelbagai produk kraf bunga yang unik sehingga menerima permintaan dari dalam dan luar negara.

Meran Md Yusof, 65, berkata, kemahiran tersebut diperoleh melalui kursus anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memperkenalkan teknik penghasilan daun hiasan sebelum berkembang kepada pembuatan bunga dan gubahan lengkap.

“Saya asalnya suri rumah, suami pesara tentera. Pegawai RISDA datang ke rumah dan mengajak saya sertai kursus. Dari situ saya belajar buat daun dan kemudian bunga,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Bengkel Kraf Bunga Daun Getah di Kampung Jus di sini.

Menurutnya, proses penghasilan bermula dengan pemilihan daun getah yang baik sebelum direndam dan melalui rawatan khas sehingga sebulan bagi memastikan ketahanan serta kualiti warna.

“Kalau sudah mahir, sekuntum bunga boleh siap dalam kira-kira tiga minit, tetapi proses awal daun ambil masa lebih lama.

“Daun getah yang diproses ini digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk seperti bunga ros, gubahan hantaran, penanda buku, jam hiasan, potpouri dan cenderahati.

“Setiap produk dihasilkan mempunyai ketahanan tinggi sehingga lima hingga enam tahun jika disimpan dengan baik, terutama dalam ruang berhawa dingin,” katanya.

Tambahnya, antara tempahan yang pernah diterima termasuk untuk acara SUKMA serta pelanggan dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, China dan Maghribi, namun ada yang terpaksa ditolak akibat kekangan tenaga kerja.

“Pernah terima tempahan besar dari Maghribi tetapi kami tidak mampu siapkan kerana jumlah terlalu banyak dalam satu masa,” katanya.

Menurutnya, harga produk ditawarkan bermula sekitar RM1 bagi penanda buku, manakala gubahan berskala besar boleh mencecah sehingga RM2,000 bergantung kepada rekaan dan saiz.

Meran berharap pusat penghasilan kraf bunga daun getah di Kampung Jus dapat dipromosikan sebagai produk pelancongan kreatif Melaka bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Kalau pelancong datang melihat sendiri proses ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu menambah pendapatan kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post KUIH BAKAR JULANG NAMA ‘KAMPUNG KOBOI’
Next post ANAK FELDA BUKIT SENGGEH BINA EMPAYAR BAS PELANCONG