Sorting by

×

AYAM KAMPUNG JADI REBUTAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ASAHAN 4 Mei – Ternakan ayam kampung di Kampung Masjid Baru di sini habis licin dijual setiap kali Ramadan dan menjelang Aidilfitri, sekali gus membuktikan permintaan tinggi terhadap produk segar dan berkualiti yang diusahakan penternak tempatan.

Penternak, Mohamad Adip Mohd Yusop, 66, berkata ternakan ayam kampung miliknya yang bermula dengan 100 ekor pada 2024 dan kini berkembang mencapai kira-kira 400 ekor setahun dan hampir kesemuanya habis dijual sebelum raya setiap tahun.

“Sejak dua tahun saya usahakan ternakan ayam kampung ini apabila tiba musim perayaan memang reban akan ‘kosong’ kerana ramai penduduk setempat dan sekitar Jasin mencari ayam kampung segar dan berkualiti untuk juadah raya.

“Ramadan dan Aidilfitri adalah masa paling sibuk untuk saya, jadi selepas hari raya, memang saya akan tambah ayam dan lebih fokus kepada memasarkan telur ayam kampung pula, kerana permintaannya juga jauh lebih tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Warga emas itu turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Masjid Baru yang membantunya menerima geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjumlah RM10,000 bagi menaik taraf reban, sekali gus membantu mengekalkan pengeluaran stabil dan memenuhi permintaan tinggi.

“Ada yang tanya saya apa rahsia ayam kampung ternakan saya ‘sihat’ dan selalu menjadi pilihan, saya tiada rahsia..Ini semua menerusi hasil inovasi saya dan anak selepas beberapa kali kita belajar sendiri secara dalam talian dan digabungkan dengan ilmu saya ketika berkhidmat di Jabatan Pertanian sebelum bersara.

“Kesemua ayam ternakan saya memang makan dedak menerusi formula bancuhan sendiri iaitu kisaran daun ketum ayam, halia, bawang putih, kunyit dan gula merah yang di peram dua hari, di mana dengan formula saya dapati dapat meningkatkan imunisasi ayam dan mengurangkan kematian ternakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post DATARAN BAHARU PERZIM LOKASI IDEAL ACARA PELANCONGAN BERSKALA BESAR
Next post GASING PANGKAH IDENTITI FELDA BUKIT SENGGEH