Sorting by

×

RUMAH MAMPU MILIK RM250,000 KE BAWAH LARIS DI MAPEX MELAKA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Rumah mampu milik bernilai bawah RM250,000 yang ditawarkan di Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka 2026 mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung sedang merancang untuk membeli kediaman baharu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sambutan diterima pada penganjuran tahun ini membuktikan rakyat Melaka masih mampu memiliki kediaman.

Menurutnya, daripada 54 reruai pempamer yang disertai pelbagai pemaju perumahan di Melaka, kebanyakan projek rumah mampu milik mencatat jualan memberangsangkan.

“Saya dapat lihat kemeriahannya sama seperti ekspo yang lain dan ini merupakan hari keempat sejak MAPEX bermula pada Selasa lalu dan akan berakhir pada Ahad (3 Mei).

“Daripada 54 pempamer, rata-rata kebanyakan rumah mampu milik bernilai RM250,000 ke bawah habis dijual. Kalau ada pun mungkin tinggal 10 hingga 20 peratus sahaja.

“Lebih menarik, di kawasan Merlimau ada rumah pangsa berharga RM70,000 dan kini hanya tinggal kira-kira lima unit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan MAPEX Melaka 2026 di Pasaraya Mydin MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2026 Datuk Sonny Tay Chor Han.

Mengulas lanjut, Rais berkata situasi itu menunjukkan Melaka masih menawarkan harga rumah yang mampu dimiliki rakyat berbanding negeri lain.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan pemaju perumahan bagi memastikan sektor itu terus diperkasakan tanpa membebankan pembeli.

“Ketua Menteri tahu keadaan ekonomi sekarang mencabar, sebab itu kerajaan negeri melalui LPM terus memberi sokongan kuat kepada pemaju perumahan.

“Kita tidak mahu dasar yang dibuat menekan pemaju sehingga akhirnya beban itu dipindahkan kepada pembeli rumah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post ANAK FELDA BUKIT SENGGEH BINA EMPAYAR BAS PELANCONG