
PERPUSTAM SASAR BUKA DUA PERPUSTAKAAN KERJASAMA TAHUN INI
AYER MOLEK 6 Mei – Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) menyasarkan sekurang-kurangnya dua lagi perpustakaan kerjasama akan dibuka pada tahun ini.
Pengarah PERPUSTAM Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, sehingga 4 Mei, pihaknya merekodkan sebanyak sembilan perpustakaan kerjasama di seluruh negeri ini.
Katanya, kebanyakan perpustakaan kerjasama membabitkan PERPUSTAM dengan persatuan penduduk, institusi pendidikan dan masjid.
“Menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebanyak dua perpustakaan kerjasama telah dibuka iaitu satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal iaitu di Hab Pangsapuri Murai Jaya dan yang baharu dirasmikan menerusi WRUR DUN Ayer Molek di Taman Sri Kandang.
“Pendekatan kerjasama dipilih berikutan kos tinggi untuk membina perpustakaan baharu secara fizikal dan langkah ini dilihat memberi nilai tambah kepada penghuni, pelajar sekolah dan komuniti setempat.
“Sebagai contoh PERPUSTAM juga menjalin kerjasama dengan Sekolah Henry Gurney yang memberi nilai tambah kepada penghuni sekolah tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perpustakaan Komuniti Sri Kandang sempena Program WRUR DUN Ayer Molek yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Taman Sri Kandang, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PERPUSTAM Datuk Rosli Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Aizammuddy berkata, selain perpustakaan kerjasama, Melaka turut mempunyai kira-kira 23 perpustakaan desa di kampung-kampung seluruh negeri ini.
“Selain itu, kita juga mempunyai perpustakaan negeri di Bukit Baru serta perpustakaan cawangan di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Jasin.
“Kita turut mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak termasuk persatuan penduduk untuk bersama PERPUSTAM bagi membangunkan perpustakaan kerjasama di kawasan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

