Sorting by

×

INISIATIF 1 PBT 1 AMBULANS PERKUKUH BANTUAN KECEMASAN DI JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

JASIN 6 Mei – Orang Jasin kini lebih mudah mendapatkan perkhidmatan kecemasan ambulans susulan pelaksanaan inisiatif ‘1 PBT, 1 Ambulans’ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, inisiatif berkenaan adalah cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam usaha memperkukuh sistem bantuan kecemasan kepada rakyat.

Menurutnya, pelancaran ambulans di bawah MPJ itu merupakan antara komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyokong hasrat Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, MPJ menyahut hasrat Kerajaan Negeri menerusi inisiatif ‘1 PBT, 1 Ambulans’, di mana inisiatif ini memberi manfaat besar untuk rakyat di seluruh negeri.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu mempercepatkan bantuan kecemasan kepada rakyat, selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6307793476233401689
MUHAMMAD Zahiruddin ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama APM. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Tambah Muhammad Zahiruddin, bagi daerah Jasin, ambulans berkenaan akan ditempatkan di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selandar sebagai sokongan kepada perkhidmatan ambulans sedia ada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, langkah itu diambil bagi membantu mengurangkan isu kelewatan tindak balas (response time) ambulans yang sebelum ini menjadi antara kebimbangan masyarakat.

“Kadangkala berlaku permintaan yang tinggi dan keadaan tertentu menyebabkan ambulans sedia ada tidak mencukupi, hingga terpaksa menggunakan khidmat swasta, justeru kita harap apa yang dilakukan ini dapat memberi impak besar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: PENDUDUK KAMPUNG BUSUT LICIN DAPAT DUA BERITA GEMBIRA
Next post ‘MELAKA SUDAH PINDAH?’ INI SEJARAH MELAKA PINDAH