
WRUR AYER MOLEK: PENDUDUK KAMPUNG BUSUT LICIN DAPAT DUA BERITA GEMBIRA
AYER MOLEK 6 Mei – Jalan tanah merah sepanjang satu kilometer (km) yang menjadi laluan utama penduduk di Kampung Busut Licin bagi melakukan aktiviti harian akan diturap, sekali gus meningkatkan lagi keselesaan dan tahap keselamatan.
Selain itu masalah saliran turut diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri menerusi cadangan untuk memanjangkan lagi longkang sedia ada bertujuan mengelakkan kejadian banjir yang kerap melanda penempatan itu sebelum ini.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, perkara itu diberikan perhatian selepas mengambil kira kepayahan penduduk yang terpaksa melalui jalan berlumpur setiap kali berlaku hujan lebat.
“Satu lagi laluan alternatif yang disediakan pihak pemaju perumahan berhampiran juga tidak diturap, berikutan itu adalah amat wajar kita sediakan jalan yang sempurna supaya lebih selesa digunakan penduduk.
“Insya-Allah proses ini akan berjalan lancar kerana laluan melibatkan tanah rizab kerajaan, begitu juga dengan cadangan menyediakan kemudahan infrastruktur lain pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kebersihan dan Pembaikan Kecil Rumah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Molek Hang Tuah Jaya: Kampung Kita di Kampung Busut Licin, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Faizal Mohd Zin.
Mengulas mengenai permasalahan saliran yang kerap menyebabkan banjir Zulkiflee berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan pihak pemaju perumahan bagi memanjangkan longkang sedia ada.
“Perancangan kita adalah membina longkang yang menyalurkan air ke sungai, sekali gus mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Terdahulu program kebersihan dan baik pulih rumah yang dilaksanakan di kampung berkenaan turut memberi manfaat kepada lima rumah penduduk yang menerima bantuan pembaikan serta sumbangan peralatan elektrik bernilai RM5,000 daripada MPHTJ.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


