
MAIM JADI ‘JAMBATAN’ RAPATKAN JURANG KOMUNITI DAN ASNAF
AYER MOLEK 7 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara asnaf dan mualaf bersama komuniti serta pemimpin setempat bagi memastikan golongan itu tidak terpinggir.
Inisiatif itu digerakkan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dengan mengadakan ziarah kasih ke rumah-rumah asnaf dan mualaf terpilih
Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, menerusi program tersebut pihaknya turun padang bersama wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bertujuan memberi pendedahan mengenai situasi sebenar kehidupan asnaf miskin dan asnaf mualaf.
Pada masa sama, ujar beliau, sesi ziarah itu turut membuka ruang kepada golongan asnaf berkongsi masalah secara terus.
“Program ini mewujudkan komunikasi antara asnaf, MAIM, pimpinan komuniti seperti JPKK serta masyarakat setempat termasuk imam dan jiran mengenai nasib golongan asnaf ini yang hidup dalam serba kekurangan di kawasan mereka.
“Usaha ini penting dalam membina masyarakat dan komuniti setempat yang lebih prihatin dan saling mengambil berat antara satu sama lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ziarah Kasih MAIM Sempena WRUR Ayer Molek di Taman Desa Molek, di sini, pada Rabu.
Program tersebut turut disertai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Pegawai Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin berkata, bantuan disalurkan kepada asnaf menerusi program ziarah kasih itu mengikut keperluan semasa setiap keluarga, di mana jika melibatkan pesakit yang memerlukan barangan khas seperti susu dan lampin pakai buang, bantuan boleh mencecah antara RM500 hingga RM1,000 bagi sebuah rumah.
“Manakala untuk golongan asnaf mualaf, bantuan berbentuk wang tunai serta kit makanan.
“Terdapat juga beberapa maklumat tambahan diperolehi hasil program ini yang akan direkodkan untuk tindakan lanjut bagi memastikan bantuan bersesuaian dapat disalurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


