Sorting by

×

SKRIN LED KAMPUNG KEMUNING ‘LAKU KERAS’

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

MACHAP JAYA 7 Mei – Kemahuan untuk tampil dengan idea yang berbeza daripada orang lain atau memecah tradisi menjadi kebiasaan tidak salah jika kena pada gaya, tempat dan sesuai peredaran zaman semasa.

Malah jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan ilmu penuh di dada keputusan pada awalnya agak meragukan mampu menjadi sumber pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.

Itulah yang dibuktikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kemuning, yang kini semakin dikenali dengan tawaran perkhidmatan sewaan skrin LED bagi penganjuran pelbagai majlis melibatkan agensi kerajaan atau swasta seluruh Melaka.

Pengerusi JPKK Kemuning Maswira Mat Noh berkata, keputusan merebut peluang menawarkan perkhidmatan itu timbul selepas melihat penggunaan skrin LED yang amat meluas di Melaka termasuk pada setiap kali penganjuran majlis rasmi Kerajaan Negeri.

“Jika sebut perkhidmatan sewaan skrin LED banyak yang datang dari Lembah Klang, harga pula boleh tahan, tetapi syarikat tempatan di Melaka pula masih kurang. Jadi kami ambil peluang, membina tapak dengan menawarkan perkhidmatan sewaan skrin LED.

“Sebelum membeli peralatan kami lakukan kajian lebih tiga bulan, termasuk memerhatikan teknik memasang skrin LED secara ‘curi-curi’ kerana agak malu untuk bertanya pada kontraktor bertugas. Apabila sudah yakin baru kami berani bertanya secara berdepan.

“Kami juga memilih perniagaan ini kerana saingan yang masih kurang dibandingkan perkhidmatan sewaan khemah. Jika memilih bidang penternakan atau pertanian pula sudah menjadi kebiasaan dan memerlukan komitmen sepenuh masa, tampoh masa untuk dapat semula keuntungan untuk juga agak panjang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Maswira berkata, mereka bernasib baik kerana permohonan mendapatkan geran Sejati MADANI diluluskan meskipun memohon pada saat akhir dan kemudian dilabur untuk membeli satu set skrin LED berukuran 3 x 5 meter berharga RM70,000.

Katanya, secara keseluruhan mereka menerima geran berjumlah RM100,000 dan wang lebihan digunakan bagi membeli peralatan sokongan lain seperti alat siar raya (PA system) dan ‘air cooler’ bagi mempelbagaikan lagi produk perkhidmatan ditawarkan.

Menurutnya, selepas lebih setahun beroperasi pihaknya kini semakin kerap mendapat tempahan sewaan skrin LED dan sehubungan itu timbul perancangan untuk menambah kelengkapan yang ada bagi memenuhi permintaan semasa.

Jika ada rezeki Maswira berkata, pihaknya bercadang untuk menambah jumlah skrin LED dan menawarkan perkhidmatan video ‘multiple camera production (MCP) kerana permintaan yang semakin tinggi dan kerap menerima pertanyaan daripada pelanggan.

“Semua ini umpama menyediakan pakej sewaan yang lengkap bagi penganjuran sesebuah program, setakat ini perkhidmatan kami adalah dalam kalangan pelanggan sekitar Melaka sahaja,” katanya.

Jelasnya, keuntungan daripada perkhidmatan ditawarkan pula dipulangkan kepada komuniti apabila ia digunakan untuk membiayai penganjuran program sekitar JPKK Kemuning seperti membeli barangan sumbangan untuk aktiviti ziarah kasih dan jamuan Aidilfitri.

“Inisiatif ini secara tidak langsung membantu JPKK untuk berdikari, tidak lagi terlalu bergantung kepada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi menganjurkan program skala kecil.

“Anak muda kampung juga ada pendapatan tambahan menerusi pekerjaan sampingan iaitu membantu membantu memasang dan mengoperasikan skrin LED setiap kali kami menerima tempahan daripada pelanggan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post ‘MACHAP HILL’ BUKAN BUKIT BIASA