
TURUN PADANG CARA DUN AYER MOLEK JAGA KEBAJIKAN RAKYAT – RAHMAD
AYER MOLEK 7 Mei – Pendekatan masuk kampung atau turun padang menjadi amalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek bagi memastikan tidak ada rakyat yang memerlukan keciciran daripada menerima bantuan kebajikan.
Amalam itu bukan bermusim tetapi dilaksanakan secara konsisten dan tidak hanya tertumpu sepanjang penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di DUN berkenaan ketika ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pendekatan itu juga mampu memperkukuh jaringan kebajikan, sekali gus mengelakkan daripada berlakunya kes terlepas pandang.
“Sepanjang WRUR kita rancakkan lagi program ziarah melibatkan mereka yang mengalami masalah kesihatan, ujian dalam hidup, warga emas yang uzur dan asnaf sekitar DUN Ayer Molek.
“Alhamdulillah dengan bantuan agensi Kerajaan Negeri, kita dapat menyantuni lebih ramai penerima, jumlah bantuan disalurkan juga meningkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Peduli Ummah Untuk Mantan Pegawai Syarak dan Guru JAIM Bagi Semua Masjid DUN Ayer Molek sempena WRUR DUN Ayer Molek di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.
Menurut Rahmad, kesinambungan program kebajikan ini akan terus diperkukuhkan kerana fokus utama beliau sejak awal di DUN Ayer Molek adalah memastikan isu-isu rakyat sentiasa diberi perhatian.
“Insya-Allah, program seperti ini akan diteruskan kerana keutamaan kita adalah kebajikan masyarakat di DUN Ayer Molek,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


