Sorting by

×

PELAJAR KOLEJ KOMUNITI JASIN TEROKA DUNIA LOGISTIK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 8 Mei – Seramai 30 pelajar Program Sijil Perkhidmatan Logistik (SLK) bersama dua pensyarah pengiring dari Kolej Komuniti Jasin (KKJS) menyertai Program Lawatan Eksplorasi Industri Logistik ke Rembau Movers dan KLIA Terminal 2 di Sepang, baru-baru ini.

Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai operasi sebenar industri logistik sekali gus memperluaskan pemahaman mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, pihak kolej sentiasa menggalakkan pelajar untuk meneroka dunia luar agar lebih bersedia menghadapi cabaran industri sebenar selepas tamat pengajian.

Menurut beliau, lawatan industri seperti itu mampu menghubungkan teori pembelajaran di dalam bilik kuliah dengan aplikasi sebenar yang diamalkan pemain industri.

“Sememangnya kita sentiasa memberi pendedahan kepada para pelajar agar dapat mempelajari pelbagai ilmu berkaitan program pengajian bagi memudahkan segala urusan apabila berada di alam pekerjaan.

“Melalui pengalaman dan perkongsian kepakaran daripada pihak industri, pelajar dapat meningkatkan kefahaman serta kesiapsiagaan untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, pensyarah logistik KKJS, Nur Husna Samsuri berkata, pendedahan awal terhadap industri logistik penting bagi membantu pelajar memahami selok-belok bidang berkenaan dengan lebih mendalam.

Jelas beliau, pengalaman secara langsung di lapangan bukan sahaja menambah pengetahuan pelajar, malah meningkatkan kemahiran teknikal serta keyakinan mereka untuk membina jaringan profesional dalam industri logistik.

“Apa yang dipelajari di dalam bilik kuliah hanya bersifat teori semata-mata dan pelajar sewajarnya diberikan pendedahan terhadap dunia logistik sebenar agar tidak silap memilih bidang pekerjaan.

“Tambahan lagi, apabila pelajar memperoleh ilmu baharu daripada pihak industri, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kebolehpasaran serta membuka peluang kerjasama strategik antara kolej dan pihak industri pada masa akan datang,” katanya yang turut mengiringi lawatan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: SELESAI ADUAN RAKYAT IKUT KATEGORI