
TEATER AMAL: MANEK SULAMKAN SI-AYER MATA, INISIATIF BISTARI SOKONG PRODUK SENI MELAKA
KLEBANG 8 Mei – Pementasan Teater Amal: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata antara inisiatif dilaksanakan Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) dalam usaha berterusan mengangkat keunikan budaya Peranakan Baba dan Nyonya.
Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz berkata, pementasan teater muzikal ini adalah hasil kerjasama melibatkan Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Katanya, teater itu mengisahkan kehidupan sebuah keluarga Peranakan Baba dan Nyonya di Melaka yang terkenal dengan seni sulaman kasut manik dan akan dipentas di Auditorium Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka pada 15 Mei ini.
“Semua dipelawa untuk hadir bagi bersama-sama menyokong produk seni budaya Melaka. Kutipan daripada tiket dibeli juga amat membantu bakat seni tempatan untuk terus berkembang dan menghasilkan karya lebih kreatif.
“Selain itu inisiatif ini juga secara tidak langsung membantu BISTARI khususnya untuk mengumpul dana bagi meneruskan usaha amal kebajikan rakyat di negeri ini terutamanya melibatkan golongan asnaf.
“Tahniah juga diucapkan kepada MTA kerana menyahut seruan JKKN Melaka, sekali gus membantu Kerajaan Negeri dalam melestarikan seni budaya dan warisan yang secara tidak langsung merintis peluang kepada pelbagai pementasan wayang peranakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Teater Amal: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata yang turut dihadiri Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias dan Presiden MTA Madeline Kuah, di sebuah hotel di Klebang, di sini, hari ini.
Sementara itu Madeline berkata, pihak penganjur menjangkakan kira-kira 400 penonton akan hadir menyaksikan Teater Amal: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata yang dipentaskan buat kali kedua.
“Pada kali ini kita jangkakan penonton seramai 400 orang untuk itu saya menyeru agar orang ramai dapat merebut peluang ini kerana teater ini antara lain turut memaparkan kisah kekeluargaan yang erat.
“Kadar harga tiket yang ditetapkan antara RM100 hingga RM200 oleh itu mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-6187604 bagi membuat tempahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


