
BEKAS KETUA PENGARANG MELAKA HARI INI PENERIMA KE-740 TABUNG KASIH@HAWANA
PAYA RUMPUT 9 Mei – Bekas ketua pengarang Melaka Hari Ini, Ishak Mohamed Salleh, 65, dipilih sebagai penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang ke-740.
Ishak yang pernah menerajui Melaka Hari Ini selama 18 tahun kini diuji dengan masalah kesihatan termasuk diabetes dan penyakit saraf yang menyebabkan hilang deria rasa pada bahagian kanan tubuhnya.
Penyerahan sumbangan itu lebih istimewa apabila disampaikan sendiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang hadir pada sesi ziarah di kediamannya di Taman Bukit Cheng, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, santunan kasih dan sumbangan kepada pengamal media sama ada yang telah bersara atau diuji dengan masalah kesihatan menjadi antara inisiatif yang dilaksanakan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diperkenalkan sejak April 2023.
Jelas beliau, inisiatif itu bukan sahaja menjadi menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap keluarga media, bahkan turut menyuntik semangat kepada veteran-veteran media agar dapat mengimbau dan berkongsi jasa serta pengalaman mereka dalam dunia kewartawanan.
“Mengambil semangat Encik Ishak sepanjang karier kewartawanannya, banyak jasa yang telah ditinggalkannya yang kini menjadi satu bahan sejarah.
“Malah, kita difahamkan dia juga merupakan individu penting kepada pengenalan lampu isyarat hijau berkelip sebelum bertukar kuning yang diguna pakai pada hari ini dan memberi manfaat kepada semua susulan daripada laporan berita yang disiarkannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi ziarah tersebut.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Arul Rajoo Durar Raj serta lain-lain kenamaan.
Menurut Fahmi, jasa dan legasi yang ditinggalkan itu sekali gus menunjukkan bahawa pengamal media memainkan peranan dan tanggungjawab penting kepada rakyat dan negara.
“Menerusi laporan dan pandangan yang diolah pengamal media ini juga dapat membantu kerajaan membuat sesuatu tindakan dan perubahan kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Ishak merakamkan ucapan terima kasih kepada menteri dan Kementerian Komunikasi kerana mewujudkan HAWANA sebagai penghargaan kepada para pengamal media.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja mengambil berat kepada bekas pengamal media bahkan pada masa sama turut berupaya mengangkat profesion kewartawanan ke satu tahap lebih tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


