Sorting by

×

HAWANA 2026 BINCANG MODEL PERNIAGAAN BAHARU UNTUK SYARIKAT MEDIA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PAYA RUMPUT 9 Mei – Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang akan diadakan di Pulau Pinang yang dijadual pada Jun depan bakal memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang melanda syarikat-syarikat media di negara ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara yang bakal diberikan tumpuan adalah perbincangan mengenai model perniagaan baharu yang boleh membawa pulangan kepada syarikat-syarikat media.

Jelas beliau, usaha itu juga penting dalam memastikan profesion kewartawanan terus bertahan di negara ini.

“Jadi ada beberapa perkara yang sedang kita ikhtiarkan dalam memacu perubahan industri media, misalnya kolaborasi dengan beberapa pihak untuk bereksperimen cara penyampaian baharu berita kepada audiens generasi baharu.

“Ini merupakan satu realiti pada hari ini, di mana, generasi baharu mungkin tidak lagi membaca akhbar dan menonton berita pada waktu tertentu.

“Jadi, ini antara perkara yang akan dibincangkan kerana saya percaya setiap pengamal media dan syarikat media juga mempunyai pandangan dan idea bagaimana peralihan ini boleh dilakukan, termasuk membincangkan model perniagaan baharu yang memberi pulangan kepada syarikat dan memastikan kerja untuk wartawan terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, Ishak Mohamed Salleh di Taman Bukit Cheng, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Arul Rajoo Durar Raj serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, perubahan dalam industri media perlu dilakukan bagi membolehkan maklumat sampai kepada segenap lapisan masyarakat termasuk generasi muda.

Oleh itu, beliau percaya peralihan aspek penyampaian berita kepada audiens perlu dilakukan, khususnya dalam platform media sosial masa kini seperti Whatsapp, TikTok, Facebook dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post BEKAS KETUA PENGARANG MELAKA HARI INI PENERIMA KE-740 TABUNG KASIH@HAWANA
Next post WARTAWAN DAHULU TIDAK DIPANDANG, KINI SUDAH JADI KEBANGGAAN