Sorting by

×

SAYA TIDAK MAHU RAKYAT ‘TERBIASA’ DENGAN MASALAH

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER MOLEK 10 Mei – Setiap permasalahan rakyat Melaka terutamanya golongan berpendapatan rendah sentiasa diambil berat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dalam memastikan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin utama negeri ini dilaksanakan dengan sebaiknya.

Ketua Menteri berkata, berikutan itu Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang terbukti berkesan dalam membantu menyelesaikan permasalahan rakyat yang sentiasa memerlukan pembelaan dengan lebih cekap dan efisien.

Kata Ketua Menteri tugas seorang pemimpin bukan sekadar hadir merasmikan program, sebaliknya mesti turun padang mendengar sendiri suara rakyat dan memahami realiti kehidupan mereka kerana itu adalah makna sebenar sebuah amanah kepimpinan.

“Saya masih teringat, ketika turun padang saya bertemu seorang pak cik yang sudah berbelas tahun berniaga. Dia kata kepada saya, ‘Tok’ (Datuk Seri Utama) saya tak minta bantuan duit, saya cuma nak longkang depan gerai saya dibaiki, sebab bila air bertakung pelanggan lari.

“Ada juga rumah yang saya ziarah, atapnya bocor dan apabila hujan, dia letak baldi di setiap sudut. Tetapi, bila ditanya dia hanya tersenyum dan kata pada saya, Tak apa tok, saya dah biasa,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara berkata, menerusi WRUR kepimpinan negeri tidak duduk diam, sebaliknya agresif melaksanakan inisiatif turun padang dan masuk ke kampung-kampung untuk bertanyakan khabar serta permasalahan selain menyantuni rakyat.

“Kerajaan hari ini tidak sekadar menunggu rakyat datang membuat aduan di pejabat, tetapi barisan wakil rakyat yang mentadbir hari ini turun padang mengetuk pintu rakyat dari rumah ke rumah untuk pastikan tidak ada rakyat Melaka yang terpinggir daripada menerima bantuan selayaknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

539
Kongsi :
Previous post PEMBANGUNAN MELAKA BERPAKSIKAN FALSAFAH MESRA
Next post MELAKA LUNCUR SISTEM QR TAGGING HAIWAN TERNAKAN PERTAMA DI MALAYSIA 16 MEI INI