Sorting by

×

PASAR BESAR MELAKA SENTRAL LEBIH MODEN, BERKONSEP ‘RUMAH MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PENGKALAN BATU 11 Mei – Projek pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral yang baharu dijangka bermula tahun hadapan selepas proses tender bagi projek berkenaan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Shadan Othman berkata, peruntukan kira-kira RM15 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah diluluskan bagi membangunkan pasar itu yang lebih moden serta mesra pengunjung.

Menurutnya, pasar baharu itu akan dibina di tapak asal berhampiran Melaka Sentral kerana lokasi berkenaan dilihat lebih strategik berbanding pasar sementara sedia ada ketika ini di Bachang.

“Kalau kita tengok di seluruh negara, kebanyakan pasar besar terletak berhampiran terminal bas dan teksi. Jadi tapak lama ini lebih sesuai kerana kedudukannya dekat dengan Melaka Sentral.

“Kelulusan peruntukan daripada KPKT juga telah diterima melalui surat rasmi dan kini kita hanya menunggu proses perolehan serta tender dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Tandas Terbersih sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park, di sini, pada Ahad.

Menurutnya, kementerian akan memilih kontraktor yang berjaya sebelum kerja pembinaan dimulakan, dijangka sama ada hujung tahun ini atau awal Januari tahun depan.

Katanya, pasar baharu itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun dan reka bentuknya dibuat dalam konsep satu tingkat selepas mengambil kira maklum balas peniaga serta penduduk setempat.

“Pasar lama dahulu dua tingkat tetapi tingkat atas kurang mendapat sambutan. Jadi kali ini kita ambil pendekatan satu tingkat supaya semua peniaga dapat menikmati aliran pelanggan yang lebih seimbang.

“Konsepnya juga lebih terbuka tanpa satu pintu masuk utama sahaja, sebaliknya semua ruang masuk boleh digunakan pengunjung selain mengetengahkan identiti rumah Melaka.

“Pasar ini juga bakal mengetengahkan elemen pelancongan menerusi penjualan produk tradisional Melaka seperti belacan dan cencaluk yang sering menjadi buruan pelancong termasuk dari Singapura dan Johor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5869
Kongsi :
Previous post BUSANA TRADISIONAL JADI ‘TIKET PERCUMA’ NAIK MENARA TAMING SARI
Next post LEBIH 4 DEKAD, ASAHAN TERUS JADI ‘RUMAH’ SILAT