
MAIM BAWA SINAR BAHARU BUAT KELUARGA ASNAF MUALAF
AYER MOLEK 12 Mei – Kehidupan serba mencabar bersama isteri dan anak-anak yang masih kecil menjadi antara ujian yang perlu ditempuh asnaf mualaf Wandy Arif Langik, 42.
Jauh di sudut hati bapa kepada empat anak itu mahu menyediakan kehidupan yang lebih selesa untuk keluarga, namun keadaan ekonomi semasa memberi cabaran besar untuknya merealisasikan impian tersebut.
Bagaimanapun peniaga apam balik itu bersyukur apabila di sebalik kesulitan yang dihadapi, muncul Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menghulur tangan untuk membantu keluarganya meneruskan kehidupan.
“Dengan empat anak yang masih kecil dan bersekolah memang agak sukar, namun saya bersyukur apabila adanya agensi seperti MAIM yang datang membantu meringankan beban kami sekeluarga.
“Selain bergantung kepada pendapatan menerusi jualan apam balik, bantuan bulanan yang diberikan MAIM memberi makna amat besar untuk kami dalam keadaan cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia ditemui selepas menerima kunjungan Ziarah Kasih MAIM sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di kediamannya di Jalan Bakar Batu, Lorong Penghulu Notin, Kandang, di sini, baru-baru ini.
Ziarah Kasih MAIM itu diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan turut bersama Pegawai Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Wandy berkata, kunjungan ziarah itu seakan memberi sinar baharu untuknya dan keluarga kerana ia melambangkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyelami kehidupan rakyat, khususnya golongan memerlukan.
“Kunjungan ini juga mnembuatkan kami rasa didengari dan memberi semangat untuk saya dan keluarga terus bertahan walaupun hanya hidup serba sederhana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


