Sorting by

×

CINTA DINA HADFINA KEPADA KALAM ALLAH

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER MOLEK 12 Mei – Hidupnya berasa lebih lapang, luas dan aman, semuanya adalah hasil keberkatan daripada amalan membaca al-Quran atas dasar cintanya yang mendalam terhadap kalam Allah sejak kecil lagi.

Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam, 23, berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca sebaliknya perlu difahami agar isi yang tersirat dapat dijadikan sebagai pedoman dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang Muslim.

Katanya, minat terhadap al-Quran juga mendorongnya untuk menyertai pertandingan tilawah yang diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Berkongsi kejayaannya, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz dan Qiraat, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) ini berkata, baru-baru ini dia diumumkan sebagai Johan Kategori Hafazan 1-30 Juzuk (Perempuan) pada Majlis Tilawah & Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M yang berlangsung di Terengganu.

Atas kejayaannya itu anak kedua daripada dua beradik ini menerima insentif khas berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, Ahad lalu.

“Alhamdulillah atas izin Allah SWT saya memperoleh kejayaan amat membanggakan dalam hidup, semua ini adalah hasil tunjuk ajar daripada ustaz dan ustazah selain persediaan selama setahun yang saya lakukan bagi menyertai tilawah.

“Ibu dan bapa antara paling banyak memberikan sokongan kepada saya, mereka mendorong saya untuk menyertai apa sahaja pertandingan melibatkan al-Quran kerana tahu ini adalah perkara yang paling saya minati,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Gadis kelahiran Ayer Molek ini berkata, wang insentif khas yang diterima akan disimpan bagi menampung perbelanjaan pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

238
Kongsi :
Previous post MBMB UBAH KAWASAN BERMASALAH JADI PUSAT RIADAH
Next post SERASI TERNAK KAMBING