Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL: JPN MASUK KAMPUNG, MUDAHKAN PROSES TUKAR ALAMAT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 13 Mei- Promosi berhubung inisiatif Kampung Digital akan terus dipergiat bagi meningkatkan kesedaran rakyat Melaka mengenai kepentingan mengemas kini alamat kediaman masing-masing menerusi sistem digital yang lebih tersusun dan praktikal.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri melaksanakan program masuk kampung bagi memudahkan orang ramai menukar alamat kad pengenalan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.

Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, setakat ini sambutan penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan amat menggalakkan dengan setiap program kaunter JPN bergerak menerima lebih 100 permohonan menukar alamat.

“Kita mahu rakyat faham kepentingan Kampung Digital ini terutama dalam urusan kecemasan dan penyaluran bantuan sekiranya berlaku bencana.

“Sebelum ini ada situasi satu lot tanah mempunyai tiga atau empat rumah menggunakan alamat sama dan ia menyukarkan proses mengenal pasti lokasi, bantuan juga sukar disalurkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Pusat Komuniti DUN Duyong di Taman Desa Duyong, di sini, semalam.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, sistem Kampung Digital membolehkan setiap rumah dipetakan secara lebih tepat menerusi kod khas dan pelekat digital yang boleh diimbas bagi mendapatkan lokasi secara terus.

“Penggunaan sistem ini juga memudahkan urusan kecemasan, penghantaran bantuan serta navigasi ke rumah penduduk dengan lebih cepat dan efisien.

“Selain itu, inisiatif yang digagaskan oleh Ketua Menteri ini juga akan memudahkan urusan lain seperti penghantaran barang dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

139
Kongsi :
Previous post MBMB, JAPERUN DUYONG SELARAS PENGGUNAAN PUSAT KOMUNITI BAHARU