
MURAL HARMONI IDENTITI BAHARU TAMAN SERI DUYONG
DUYONG 14 Mei – Mural bertemakan keharmonian masyarakat akan menambahkan lagi keceriaan dan menjadi simbol identiti baharu komuniti setempat di Taman Seri Duyong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, mural dalam proses untuk disiapkan itu mengangkat sejarah, nostalgia dan perkembangan Duyong menerusi karya seni visual yang dekat dengan masyarakat.
Katanya, mural berkenaan menampilkan elemen ikonik DUYONG seperti masjid, kampung tradisional, bangunan, deretan kedai lama serta wajah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai lambang aspirasi.
“Ini bukan sekadar mural biasa, tetapi satu karya yang membawa cerita tentang Duyong, sejarah pembangunannya dan keharmonian masyarakat yang telah lama terbina di sini.
“Kita mahu penduduk terutama generasi muda mengenali asal-usul kawasan ini selain menjadikan lokasi ini sebagai titik tumpuan baharu untuk orang ramai bergambar dan berkunjung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi mural itu di Taman Seri Duyong, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, projek itu dimulakan kira-kira dua minggu lalu dan pada awalnya disasarkan siap dalam tempoh seminggu namun berlaku kelewatan berikutan faktor cuaca.
Katanya, kerja-kerja melukis dijalankan setiap hari bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam bagi memastikan sukarelawan terlibat dapat melaksanakan tugas masing-masing dalam keadaan lebih selesa dan lebih fokus.
“Mural ini dihasilkan oleh arkitek Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Ali Hakim yang sebelum ini mendapat perhatian ramai menerusi hasil seni mural wajah pelakon antarabangsa Datuk Fan Bingbing di Jalan Jonker.
“Taman Seri Duyong dipilih sebagai lokasi mural kerana ia merupakan antara taman perumahan terawal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang mula dibangunkan sekitar 1989. Kawasan ini mempunyai nilai sentimental tinggi dalam kalangan penduduk tempatan dan semakin berkembang dengan kira-kira lapan taman perumahan membabitkan hampir 10,000 penduduk.
“Apabila siap nanti, saya yakin mural ini akan menjadi mercu tanda baharu Taman Seri Duyong serta melengkapkan lagi daya tarikan komuniti di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


