Sorting by

×

MAIM BENTUK MUSLIM BERJIWA BERSIH

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER MOLEK 13 Mei – Kebersihan perlu diberikan keutamaan oleh setiap Muslim kerana ia adalah sebahagian daripada iman yang merangkumi aspek lahiriah atau luaran melibatkan tubuh, pakaian dan dalaman (jiwa, hati).

Bagi membudayakan kebersihan dan meningkatan tahap kesedaran berhubung kepentingan aspek itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melaksanakan Gotong-Royong Kasih Asnaf sebagai sebahagian daripada pengisian pada penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, setakat ini pihaknya sudah melaksanakan sebanyak 13 siri Gotong-Royong Kasih Asnaf melibatkan peruntukan berjumlah RM80,000.

“Fokus atau penekanan kepada penganjuran program ini adalah mewujudkan suasana yang ceria, indah, kemas dan keselesaan buat asnaf. Ianya amat kena dengan saranan Islam agar setiap Muslim mengutamakan kebersihan sepanjang masa.

“Aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan pula diatur agar sesuai dengan keperluan asnaf yang disantuni. Selain membantu golongan kurang mampu ini tinggal di kediaman lebih berkualiti MAIM turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.

“Antara sumbangan yang disampaikan adalah peralatan elektrik dan perkakasan rumah kerana kita mahu asnaf berkenaan menjalani kehidupan dengan lebih sempurna,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Gotong-Royong Kasih Asnaf Sempena Program WRUR DUN Ayer Molek, di kediaman Hairoz Sidi, 55, di Kampung Bukit Gadong, Paya Dalam, baru-baru ini.

Terdahulu majlis disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut Mohd Hairulamin berkata, bagi setiap siri Gotong-Royong Kasih Asnaf, MAIM memperuntukan sekitar RM7,000 hingga RM8,000 bergantung kepada kesesuaian dan keadaan kediaman asnaf.

Menurutnya, aktiviti gotong-royong dilaksanakan sukarelawan Badan Sukarelawan Al Taqwa (BSAT) bersama konuniti setempat, sekali gus memperkukuhkan lagi semangat kerjasama antara agensi agama di Negeri Melaka dengan rakyat.

“Gotong-Royong Kasih Asnaf adalah antara usaha berterusan MAIM dalam memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan terus terpelihara, sumbangan ini juga bertujuan meringankan beban penerima serta memberi keselesaan kepada mereka untuk menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post KADAR PEMILIKAN RUMAH DI MELAKA CAPAI 85.6 PERATUS