Sorting by

×

PETUGAS KESIHATAN INSAN HEBAT 

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

LENDU 14 Mei – Petugas kesihatan dianggap sebagai insan hebat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana mereka sebenarnya memikul amanah besar yang menuntut ilmu, kesabaran, ketahanan emosi dan pengorbanan bukan mampu digalas oleh semua orang.

Katanya, warga kesihatan bukan sekadar pekerja dalam sistem tetapi insan yang menjadi benteng kemanusiaan negeri ini.

“Sejujurnya, kalau ada yang kata Tok Rauf, cubalah ambil alih tugas jururawat atau doktor satu syif je. Saya sendiri tidak yakin mampu bertahan walaupun sejam untuk berdepan situasi mencabar setiap hari.

“Dalam dunia hari ini…Kita boleh bina bangunan tinggi, kita boleh cipta teknologi canggih, kita boleh beli mesin paling moden, tetapi satu perkara yang tidak boleh dicipta oleh teknologi ialah keikhlasan seorang petugas kesihatan.

“Justeru, pada malam yang penuh bermakna ini, saya berbesar hati menyalurkan sumbangan berjumlah RM11,500 kepada petugas dan pesara kesihatan dalam Parlimen Masjid Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan  Seuntai Kasih, Semekar Legasi Warga Kesihatan Parlimen Masjid Tanah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.

Yang Turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi, Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta 200 petugas dan pesara kesihatan yang diraikan.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan RM1,500 kepada lima Srikandi Kesihatan yang juga jururawat sudah lama berkhidmat di klinik kesihatan dan klinik Desa dalam Parlimen Masjid Tanah.

Selain itu beliau turut mengumumkan sumbangan RM5,000 bagi setiap kelab kebajikan klinik kesihatan di Parlimen Masjid Tanah.

“Mungkin, sumbangan sumbangan diberi tidak mampu menandingi pengorbanan petugas kesihatan, namun ia merupakan dedikasi tanda ingatan, penghargaan dan kasih sayang mendalam kepada insan-insan
hebat dihadapan saya ini.

“Setiap senyuman kakak misi, setiap langkah pantas abang ‘Medical Assistant’ (MA), apatah lagi, setiap titisan kering at pesara kesihatan yang telah banyak berbakti kepada negeri dan parlimen ini adalah denyut nadi penting dalam memastikan rakyat Melaka mendapat sebuah kesejahteraan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post BOMBA MELAKA KENDALI 5,162 OPERASI KECEMASAN SEPANJANG 2025
Next post 87 KLINIK KESIHATAN DINAIK TARAF SEPANJANG TIGA TAHUN PENTADBIRAN TOK RAOP